Isnin, 2 Januari 2012

GURU



Di antara profesion yang mulia di sisi Allah dan juga masyarakat ialah guru.  Kerana guru mewarisi tugas para nabi dan rasul untuk mendidik masyarakat.  Guru mengajar masyarakat menjadi pandai dan berilmu, disamping itu mendidik anak-anak didik menjadi insan yang baik dan mampu berjasa kepada keluarga dan masyarakatnya.

  Dengan demikian,  kita haruslah berterima kasih kepada mereka, kerena jasa merekalah, maka kita hari ini pandai menulis, membaca dan mengira.  Dalam masa yang sama, kita juga patut bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana memasukkan ilmu ke dalam dada kita dengan perantaraan para guru.  Ayat 3 hingga 5 surah al-`Alaq sudah cukup terang dan jalas mengenai perkara ini.

 Nabi dan rasul diutuskan oleh Allah sebagai guru untuk mengajar manusia dengan ilmu yang benar, iaitu ilmu yang Allah wahyukan kepada mereka.  Mereka mengajar ilmu tentang ketuhanan, tentang perkara yang baik dan buruk, mereka mengajak manusia melakukan perkara yang baik dan meninggalkan yang buruk.  Mereka mengajar manusia supaya ingat bahawa hidup di dunia ini hanya sementara sahaja.  Semua akan mati dan kemudian akan dihidupkan semula untuk diberi balasan terhadap perbuatan mereka semasa hidup di dunia.

   Guru-guru pun demikian juga.  Mereka mengajar manusia supaya pandai membaca dan menulis.  Mengenal Tuhan, faham maksud adanya semua benda yang dapat dilihat, faham tingkah laku yang baik dan yang buruk.  Mengajar manusia supaya mereka dapat menjalani hidup dengan kerjaya masing-masing dan mendapat keredaan Allah s.w.t.  Mengajar manusia supaya menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.  Melihat kepada aspek-aspek inilah dikatakan guru mewarisi tugas para nabi.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan