Isnin, 25 Jun 2012

teknik penyoalan guru kepada pelajar

assalamualaikum...selepas bergelar student balik ni cikgu agak bz untuk meluangkan masa berblog...dgn assignment dan klas...rmh tangga...kehidupan yg agak sibuk...tp dah habis exam ni bole la berblog kembali..kali ni cikgu akan kongsi pengetahuan serba sedikit apa yg telah cikgu pelajari. sangat berbeza bila akauntan mempelajari bidang pendidikan..tp jelas...apa yg dipelajari dpt dikaitkan dgn keadaan semasa cikgu mengajar di sekolah selama 3 thn sblm ini.......




sebelum ni..bila cikgu nak menyoal pelajar dlm kelas, cikgu soal ikut suka je..rupenye ada teknik penoalan yg tersendiri...teknik 2 mcm ni...





Ciri-ciri penyoalan.
1. Kekerapan
2. Taburan yang saksama
3. Penggerak
4. Masa menunggu

Kekerapan.

Merujuk kepada bilangan soalan yang dikemukakan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut kajian, bahawa guru yang efektif sering menyoal semasa pengajaran dijalankan,(Coker et al.,1980). Hasil kajian mendapati kekerapan penyoalan menggalakkan penglibatan ramai pelajar dan seterusnya meningkatkan pencapaian (Pratton & Hales,1986).

Taburan yang saksama.

Taburan penyoalan yang adil dan saksama perlu dilakukan supaya kesemua pelajar dalam sesebuah kelas diberi peluang mengambil bahagian. Guru tidak boleh bersikap mengabaikan pelajar yang lemah dan hanya menyoal pelajar yang cerdas. Guru perlu mencatatkan nama pelajar yang sudah menjawab soalan. Guru perlu elak daripada menyoal secara beramai-ramai. Guru tidak digalakkan memanggil nama pelajar sebelum menyoal kerana bimbang hanya pelajar yang namanya dipanggil sahaja yang akan berfikir.

Penggerak.

Merupakan sebarang soalan atau arahan yang diberikan oleh guru untuk mendapat maklumat atau jawapan daripada pelajar yang telah gagal menjawab atau memberi jawapan yang kurang lengkap. Contoh : guru pada mulanya, bertanya kepada Aiman tentang bagaimana dia tahu bahawa 2/5 daripada 4/10 adalah sama. Aiman tidak menjawab. Seterusnya guru bertanya lagi “berapakah kawasan yang dilorekkan dalam gambar rajah?”.  Jika dia tidak masih menjawab guru seterusnya mengarahkan, “lihat pada kadbod dan beritahu saya apa yang awak lihat?”. Bentuk penyoalan sebegini membolehkan Aminah dan pelajar lain memikirkan masalah penggerak .Hal ini akan dapat menghubungkan harapan guru untuk mendapatkan jawapan yang tepat dengan memberi bantuan untuk memperoleh kejayaan.

Masa menunggu.

Berdasarkan situasi Aiman di atas, guru perlu menunggu beberapa saat untuk memperoleh jawapan iaitu memberi masa untuk pelajar berfikir. Masa menunggu ialah suasana yang senyap seketika menunggu jawapan. Menurut kajian, masa menunggu jawapan adalah agak pendek iaitu kurang daripada satu saat.

Manfaat masa menunggu ialah:
1. Pelajaran boleh berjalan dengan lancar dan berfokus.
2. Kualiti dan kuantiti jawapan pelajar juga meniingkat.
3. Guru menjadi lebih bertanggungjawab kepada pelajar dengan memadankan masa menunggu dan tahap soalan , meningkatkan taburan soalan dan menggalakkan penglibatan daripada pelajar yang kurang aktif.
4. Kegagalan untuk menjawab berkurangan kerana pelajar yang mengambil bahagian untuk menjawab secara sukarela meningkat.




Soalan-soalan yang hendak dikemukakan dalam aktiviti pengajaran guru hendaklah dipelbagaikan mengikut peringkat aras-aras penyoalan. Bloom dalam bukunya “ Taxonomy of Education objective” membahagikan enam peringkat aras-aras penyoalan:
1. Pengetahuan
2. Kefahaman
3. Aplikasi
4. Analisis
5. Sintesis
6. Penilaian


Soalah yang ditanya mestilah merangkumi objektif pengajaran yang telah dirancang. Tahap soalan yang ditanya juga bergantung kepada kebolehan pelajar. Guru perlu menyediakan pelbagai peringkat soalan untuk menggalakkan kemahiran berfikir.

Soalan mestilah berkaitan dengan objektif pengajaran. Isi dan fokus sesuatu soalan dapat meningkatkan daya tindak balas pelajar dan meningkatkan pengetahuan pelajar tentang konsep yang diajar. Cuba tanya soalan yang boleh membina keyakinan diri pelajar dimana pelajar seringkali mampu menjawab soalan dengan betul. Pastikan soalan itu mempunyai makna yang jelas, penggunaan istilah dan bahasa yang sesuai dengan peringkat kebolehan pelajar.

Tanya soalan yang mempunyai jawapan yang khusus dan mempunyai satu jawapan sahaja. Dalam bilik darjah kebanyakan pelajar tidak mempunyai kecenderungan untuk menjawab soalan-soalan yang panjang dan memerlukan banyak maklumat. Soalan yang ditanya perlu bermula daripada peringkat yang mudah kepada peringkat yang sukar.

Cara untuk bertanya soalan kepada pelajar di dalam kelas semasa proses pengajaran dan pembelajaran adalah seperti berikut;

1) Soalan perlu ditanya satu persatu supaya pelajar tidak keliru dan boleh memberi peluang kepada mereka untuk berfikir.
2) Soalan yang berkesan dan boleh menarik perhatian pelajar.
3) Soalan perlu ditanya dengan berpandukan objektif-objektif pengajaran.
4) Soalan yang ditanya perlulah jelas dan baik serta membolehkan pelajar menjawabnya.
5) Guru perlu berhenti seketika selepas menyoal supaya pelajar dapat memikirkan langkah yang sesuai untuk memberi jawapan.
6) Soalan perlu menggalakkan kesemua pelajar mencuba untuk menjawabnya.
7) Masa yang sesuai perlu diberi pertimbangan supaya pelajar dapat berfikir untuk memberi jawapan yang baik.

Terdapat beberapa strategi pelaksanaan penyoalan yang boleh di aplikasikan kepada pe;ajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antaranya ialah;
1) Soalan bertulis
2) Soalan kumpulan kecil
3) Soalan untuk individu
4) Soalan untuk kelas

Soalan bertulis.

Soalan bertulis sering diberikan selepas pengajaran sesuatu konsep atau kemahiran untuk memastikan pelajar memahami pengajaran yang telah diajar oleh guru. Semasa memberi soalan bertulis, guru perlu pelbagaikan cara untuk membuat penilaian dan juga peringkat soalan. Soalan bertulis tidak diberikan hanya berpandukan daripada buku teks tetapi seseorang guru perlu menyediakannya sendiri.

Soalan kumpulan kecil.

Untuk menambah kepelbagaian dalam pengajaran dan memberi pelajar manfaat dalam situasi pembelajaran koperatif , seseorang guru boleh menyediakan soalan untuk kumpulan kecil. Setiap kumpulan boleh diberi soalan yang sama atau berbeza dan meminta mereka bincangkan konsep-konsep yang terlibat dan cara penyelesaiannya jika perlu. Hal ini akan membuatkan pelajar berbincang di dalam kumpulan di dalam kelas.

Soalan individu.

Lazimnya soalan individu direka untuk membuat persediaan dalam memahami atau mengetahui kefahaman atau kepercayaan dan tingkahlaku pelajar. Ia merupakan soalan yang ditujukan khas untuk membekalkan dan membantu para pelajar untuk meningkatkan kefahaman kendiri dalam sesuatu topik. Soalan individu boleh dibuat dalam bentuk penilaian kendiri atau senarai semak.

Soalan untuk kelas.

Soalan perbincangan yang efektif adalah untuk seluruh kelas. Soalan untuk kelas merupakan salah satu kemahiran yang sukar untuk dilaksanakan oleh guru. Ini kerana ia merupakan suatu tugas yang sangat kompleks dan mustahak. Guru perlu mengenalpasti soalan-soalan yang hendak diberi dan tentukan kenapa soalan-soalan tersebut boleh mengelirukan pelajar atau sukar untuk dijawab. Apabila soalan ditujukan untuk seluruh kelas, biasanya hanya murid yang berani dan menonjol sahaja yang akan menjawab soalan. Pelajar yang agak pasif hanya kan berdiam diri sahaja.

Kemahiran menyoal membantu guru mengetahui sejauh mana pelajar telah memahami sesutu konsep atau kemahiran matematik. Kemahiran menyoal menggalakkan pelajar-pelajar mencari jawapan, menguji kefahaman, dan meransang pemikiran. Kemahiran menyoal akan melibatkan pelajar yang tidak mengambil bahagian dalam sesuatu perbincangan. Kemahiran menyoal membantu guru memdapat maklum balas daripada pelajar secara terus.

Kemahiran menyoal dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran merupakan antara suatu perkara yang penting dalam menguasai ilmu pengetahuan. Dalam bilik darjah, setiap pelajar akan mengemukan soalan kepada guru bertujuan untuk memahami setiap konsep yang disampaikan olehguru semasa didalam kelas. Melalui teknik penyoalan ini, guru akan menerangkan isi-isi penting agar pelajar dapat memahami serta membolehkan pelajar meningkatkan pemikiran mereka ke tahap yang lebih tinggi. Melalui teknik penyoalan ini, pelbagai ilmu dapat dikuasai oleh setiap pelajar samaada di peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menegah mahupun di IPT-IPT. Melalui teknik seperti ini juga dapat membantu pelajar supaya bergiat secara aktif dalam menguasai bidang ilmu dengan lebih giat lagi. Guru juga perlulah mengemukakan soalan kepada pelajar agar pelajar dapat berfikir mengenai topik yang dipelajari supaya mereka dapat memahami dengan mudah dan berkesan. Oleh itu, kemahiran menyoal dalam pengajaran dan pembelajaran amat penting dapat bidang pendidikan.